Friday, July 24, 2009

SUKATAN PELAJARAN KHB TINGKATAN 1

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH MENENGAH SUKATAN PELAJARAN
KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU
TINGKATAN I-III
(SEMAKAN)
PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR
Mei 2002


RUKUN NEGARA
BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagaibagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip prinsip berikut:-

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

PENDAHULUAN

Mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah satu mata pelajaran teras berunsurkan teknologi di Tingkatan I hingga Tingkatan III. Mata pelajaran ini digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ia dirancang untuk meningkatkan lagi daya pengeluaran negara melalui penglibatan masyarakat dan tenaga kerja secara produktif berlandaskan teknologi sejajar dengan dasar dan keperluan negara. Mata pelajaran ini merupakan sebahagian usaha pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran teknologi dan keusahawanan. Mata pelajaran ini membekalkan kemahiran yang berguna dan berfungsi agar murid boleh bertindak dan mengendalikan kehidupan harian secara produktif dalam dunia teknologi dan industri yang kompleks dan sentiasa berubah. Murid dipupuk sikap yang positif seperti menghargai kerja yang berkualiti tinggi, berinovasi dalam pembinaan projek, penuh yakin dan berdikari dalam daya usaha.

Aktiviti yang diberi tumpuan adalah bercorak kerja-buat-sendiri yang mudah berkaitan dengan pemasangan, pembinaan, baik pulih dan penyenggaraan. Disamping itu masakan, jahitan, tanaman, ternakan, pengurusan akaun dan perniagaan turut diberi tumpuan. Nilai murni, sikap yang positif dan budaya kerja yang baik diterapkan semasa menjalankan aktiviti amali agar kesepaduan dalam mata pelajaran ini dapat diwujudkan.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah untuk melahirkan insan yang berdikari, kenal faham teknologi dan ekonomi serta kreatif, berinisiatif dan yakin diri dalam keadaan teknologi yang sentiasa berubah untuk kehidupan harian.

OBJEKTIF

Kurikulum Kemahiran Hidup Bersepadu adalah untuk membolehkan murid:

1. Mengamalkan daya usaha, kreatif dan inovatif dalam mereka bentuk dan menghasilkan produk daripada pelbagai bahan seperti kayu, papan lapis dan bahan komposit
2. Mengamalkan sikap peka terhadap masalah sekeliling dan mendapatkan idea dari pelbagai sumber untuk mereka bentuk dan menghasilkan produk
3. Menjalankan kerja-buat-sendiri, menyenggara dan membaik pulih mudah kerja elektrik dan paip dalam kehidupan harian
4. Menghasilkan artikel mudah dengan menggunakan mesin jahit
5. Menghasilkan tumbuhan hiasan untuk keceriaan kawasan tertentu
6. Memilih alatan, perkakas dan bahan serta menggunakannya dengan teknik yang betul
7. Mengenal pasti kepentingan perniagaan, perkembangannya pada masa depan yang berciri k-ekonomi dan perniagaan dalam negeri dan antarabangsa
8. Mengenal pasti cabaran dan kejayaan usahawan serta menilai potensi diri dalam bidang keusahawanan
9. Menerangkan faktor utama dalam pengeluaran, kaitannya dengan permintaan dan proses pengeluaran serta membuat pengiraan kos
10. Mengumpul, memproses dan mendokumentasikan maklumat secara bersistem dan menggunakannya dengan bijak dalam membuat keputusan rekaan dan penghasilan projek
11. Mengamalkan peraturan dan budaya kerja yang baik dan selamat

ORGANISASI KANDUNGAN

Kandungan mata pelajaran ini diolah mengikut bidang pembelajaran yang mengandungi beberapa unit pembelajaran. Unit pembelajaran ini dihuraikan dalam bentuk tajuk atau aktiviti. Mata pelajaran ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Teras dan Pilihan. Bahagian Teras mengandungi satu bidang pembelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi. Manakala Bahagian Pilihan mempunyai empat bidang pembelajaran iaitu Kemahiran Teknikal, Ekonomi Rumah Tangga, Pertanian dan Perdagangan dan Keusahawanan. Murid mengambil semua bidang pembelajaran dalam Bahagian Teras dan salah satu daripada empat bidang pembelajaran dalam Bahagian Pilihan. Deskripsi bidang pembelajaran dan senarai unit pembelajaran mengikut bahagian adalah seperti di bawah.

BAHAGIAN TERAS

1. Reka Bentuk dan Teknologi

Bidang ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran asas teknologi yang membolehkan murid mereka bentuk dan menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif. Produk yang dihasilkan boleh berfungsi secara berkesan khususnya di tempat tinggal dan di tempat kerja. Bidang ini merangkumi teknik, operasi dan proses pembuatan yang melibatkan aktiviti seperti pemasangan, penyenggaraan dan baik pulih dalam kerja elektrik, elektronik dan paip. Murid juga didedahkan kepada lukisan teknik, penggunaan pelbagai bahan binaan dan kemahiran dalam masakan, jahitan, mengurus tempat kediaman dan tanaman hiasan.

1.1 Organisasi Bengkel dan Keselamatan

a. Pengurusan organisasi bengkel dan keselamatan

1.2 Reka Cipta

a. Pengenalpastian masalah
b. Pencetusan, penjanaan dan pemilihan idea
c. Perekaan projek
d. Pemilihan reka bentuk
e. Perancangan pembinaan projek
f. Pembinaan, pengujian dan pengubahsuaian projek
g. Pendokumentasian

1.3 Reka Bentuk dan Penghasilan Projek

a. Pengenalan reka bentuk dan teknologi
b. Jenis bahan dan pengikat
c. Reka bentuk projek
d. Perancangan, pembinaan dan pengubahsuaian projek
e. Pendokumentasian

1.4 Elektrik

a. Sumber dan kegunaan elektrik
b. Jenis wayar dan kerja pendawaian
c. Mengira kos tenaga elektrik
d. Pengenalan motor arus terus

1.5 Elektronik

a. Nama, simbol dan fungsi komponen
b. Membaca dan menterjemah lukisan skematik

No comments:

Post a Comment